Selasa, 30 Jun 2009

Falsafah Pengajaran Saya

Proses Pengajaran dan Pembelajaran adalah berlangsung antara pengajar dan pelajar. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga, pengajaran ditakrifkan sebagai perihal mengajar atau segala yang berkaitan dengan mengajar, seperti cara atau sistem mengajar dan aspek yang dipentingkan. Pembelajaran pula bermaksud proses atau kegiatan belajar di dalam kelas. Proses P&P mestilah melibatkan komunikasi dua hala, iaitu interaksi antara pensyarah dan pelajar agar proses P&P dapat dijalankan dengan lancar dan berkesan. Berdasarkan konsep pengajaran dan pembelajaran yang dipetik dalam Kamus Dewan, jelas menunjukkan bahawa sebagai seorang pendidik, tugas utama kita ialah mengajar dan mendidik para pelajar proses tersebut mestilah diikuti dengan penglibatan pelajar agar proses P&P wujud. Pelbagai alat bantu mengajar boleh digunakan agar proses P&P lebih menarik seperti penggunaan slaid, membuat mind mapping dan sebagainya mengikut kreativiti pensyarah.

Berdasarkan pengalaman mengajar, saya lebih cenderung berinteraksi dengan para pelajar agar mereka dapat mengeluarkan idea-idea bernas berkenaan isu yang dibincangkan. Penggunaan slaid juga digunakan agar para pelajar tidak bosan dengan hanya mendengar kuliah berdasarkan buku atau nota kuliah yang dibekalkan. Selain itu, penyertaaan pelajar dalam aktiviti individu atau berkumpulan juga dapat membantu menjadikan proses P&P berjalan dengan mudah. Untuk mewujudkan penglibatan pelajar di dalam kelas, pensyarah perlu menggunakan pendekatan yang boleh diterima oleh para pelajar bergantung kepada ketrampilan seseorang pensyarah.

Sebagai seorang tenaga pengajar, kita mestilah bangkit dengan idea-idea baru dan sentiasa memperbaiki kekurangan diri agar kita dapat melaksanakan tugas kita sebagai seorang pendidik dengan baik. Apa jua cara dan kaedah yang digunakan semasa proses P&P adalah bergantung kepada diri pendidik itu sendiri, asalkan apa yang ingin disampaikan dapat diterima sebaiknya oleh para pelajar.

Pada pandangan saya, proses P&P yang berkesan berlaku jika pendidik mempunyai ketrampilan yang tinggi dan kreatif dalam penyampaian.