Selasa, 30 Jun 2009

Pelan Pembangunan Profesional

Matlamat Diri
Dalam beberapa tahun yang akan datang, saya berazam untuk menjadi sarjana dalam bidang yang saya ceburi. Dalam mencapai matlamat ini, saya akan mencari ilmu setinggi mungkin di samping sentiasa memperbaiki kelemahan diri dengan memperbanyakkan membuat kajian ringkas tentang isu-isu berkaitan bidang yang diceburi. Profesion sebagai pendidik ini mempunyai pelbagai cabaran yang terpaksa ditempuhi. Dalam menempuhi cabaran dan dugaan itu pastinya pelbagai pengajaran dan pengalaman dalam dunia pendidikan yang dikutip. Pengalaman merupakan pengajaran dan ilmu yang paling berguna dan menjadi bekal utama untuk menjadi seorang pendidik yang baik. Oleh itu, kutiplah sebanyak mana ilmu dan pengalaman dan sentiasalah maju ke hadapan agar kita tidak terus ketinggalan di belakang.

Senarai Matlamat :

1. Sentiasa meningkatkan mutu kualiti pengajaran.
2. Mempelajari ilmu baru tentang pengajaran di dalam kelas dengan menerapkan P&P
menggunakan ICT.
3. Menjadi seorang pendidik yang berjaya pada suatu masa.
4. Membantu para pelajar menambahkan ilmu berkaitan dengan bidang saya.



Matlamat Pengajaran
Saya akan berusaha untuk memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat berlangsung dengan baik dan berkesan. Selain itu, saya juga akan sentiasa mempersiapkan diri dengan pengetahuan dan menambah input-input semasa agar saya dapat menyalurkan ilmu dengan tepat dan terkini. Sebagai seorang pendidik, kita perlu sentiasa menambah ilmu yang kita miliki agar kita tidak ketinggalan dan sentiasa maju ke hadapan daripada pelajar. Dalam era kini, pendidik perlu mahir menggunakan kecanggihan elektronik seperti penggunaan ICT agar dapat dimanfaatkan dalam proses P&P. Pengajar juga perlu mewujudkan suasana yang tenang dan selesa di dalam kelas dengan mengadakan proses P&P secara dua hala agar pengajar dan pelajar dapat berinteraksi dan berkongsi-kongsi pandangan.

Semasa proses P&P di dalam kelas juga, saya akan berusaha untuk meningkatkan kemahiran saya dalam menilai para pelajar. Dalam kursus yang saya ajar, penilaian dikira berdasarkan kemahiran mereka menyampaikan lisan, membuat penulisan esei, membuat program berbentuk ilmiah, ujian, dan latihan. Kesemua aspek tersebut dinilai berdasarkan kebolehan dan kemampuan mereka menyendalikan aspek yang dinilai. Dalam memberi penilaian terhadap penulisan esei misalnya, terdapat banyak aspek yang perlu diambil kira semasa penilaian seperti organisasi teks, bahasa, tatabahasa dan sebagainya. Oleh itu, sebagai seorang penilai penting untuk saya mengetahui cara-cara menilai hasil tugasan itu mengikut skema yang sebenar sama ada dinilai secara analitik atau holistik.

Selain itu, saya juga akan sentiasa mendengar dan menerima pandangan daripada para pelajar kerana idea atau pandangan yang diberi oleh pelajar harus dihargai. Pensyarah dan pelajar perlu bersama-sama bekerjasama agar proses P&P akan menjadi menarik dan pengajaran senang diterima oleh pelajar.



Komitmen terhadap pengajaran
Saya berhasrat mempelajari lebih mendalam bagaimanakah untuk menjadi seorang pendidik yang baik dan sentiasa menjadi role-model kepada pelajar. Di samping itu, ilmu yang hendak disampaikan kepada para pelajar juga mesti sentiasa ditingkatkan untuk memastikan kita dapat menyampaikan ilmu yang berkualiti kepada pelajar.

Seorang pendidik mesti memberikan komitmen yang tinggi kepada pengajaran dan pembelajaran kerana P&P merupakan tugas yang paling besar sebagai pendidik, disamping membuat tugas-tugas lain seperti perundingan, penyelidikan, dan khidmat masyarakat



Objektif untuk mencapai matlamat
Matlamat yang ingin dicapai harus disertai dengan keazaman yang jitu dan semangat yang kental. Untuk mencapai matlamat ini, Saya bercadang untuk menyertai bengkel-bengkel yang dianjurkan oleh pihak-pihak berkenaan berkaitan dengan bidang saya. Antara bengkel yang pernah dihadiri adalah Bengkel Penulisan Karya Asli, Bengkel Penulisan Kreatif, dan beberapa buah bengkel yang mempunyai perkaitan dengan bahasa.

Saya bercadang untuk menambah ilmu pengetahuan dalam bidang bahasa yang berfokus pada kajian terhadap kesilapan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) memandangkan pengalaman mengajar yang memperlihatkan kelemahan yang agak ketara dalam penggunaan bahasa di kalangan pelajar yang telah menuntut di IPT.

Saya juga bercadang untuk terus melanjutkan pelajaran saya agar saya dapat mencapai matlamat untuk menjadi seorang sarjana dalam bidang yang diceburi...Insya-Allah